Selamat Kembali ke UMS


Pro-Mahasiswa UMSKAL (Pro-M) mengucapkan Selamat Kembali kepada semua mahasiswa. Diharapkan semangat dan azam baru yang membara sempena semester baru dan juga tahun baru 1431 hijrah dapat menganjak paradigma baru yang segar dalam diri.

Sama-sama kita melangkah dengan yakin merentas onak duri tanpa undur dan henti walau sejenak, menjadi generasi keilmuan, mahasiswa minda kelas pertama yang unggul.


Ikhlas Daripada;
Pengerusi Pro-Mahasiswa UMSKAL
Barisan Jawatankuasa Pro-Mahasiswa UMSKAL
ahli-ahli Pro-Mahasiswa UMSKAL

Baca seterusnya...

4,000 Siswa Hadapi Masalah Air yang Serius

Lebih 4,000 pelajar dari dua buah institusi pengajian tinggi di Labuan iaitu Kolej Matrikulasi dan Universiti Malaysia Sabah dikatakan sedang menghadapi masalah bekalan air yang serius.

Jurucakap Dewan Perniagaan Bersama Labuan, Yussof Mohammad berkata masalah tersebut yang dialami sejak awal tahun ini turut dialami oleh kira-kira 85,000 penduduk Labuan.

Yussof membangkitkan perkara tersebut dalam majlis perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan turut disertai wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML), Dewan Perniagaan India, Dewan Perniagaan Cina dan Dewan Perniagaan Labuan, di Labuan hari ini.

Raja Nong Chik memberi jaminan akan mengadakan rancangan jangka pendek untuk mengatasi masalah tersebut.

Pengerusi DPMML, Rokiah Ibrahim berkata pelajar institusi pengajian berkenaan terpaksa mandi di tempat terbuka di dalam kawasan kolej mereka.

Para pelajar terpaksa bergantung kepada bekalan yang disediakan oleh Jabatan Air, begitu juga dengan para penduduk, katanya.

Masalah bekalan air di Labuan dijangka selesai menjelang akhir 2010 apabila projek saluran paip bawah laut yang baru bernilai RM365 juta dari Sungai Padas, Beaufort di tanah besar siap disambung.

Masalah kekurangan air berlaku ekoran dua daripada tiga empangan di Sungai Pagar dan Sungai Kerupang telah kering.

Baca seterusnya...

Mahasiswa Mahu Perkataan 'Pelajar' Ditukar kepada 'Mahasiswa'

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam dicadangkan untuk menggunakan perkataan 'mahasiswa' menggantikan 'pelajar' pada nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti tersebut

Cadangan tersebut dibuat Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Nur Azim Fahada Ahmad dalam suatu memorandum kepada Naib Canselor Datuk Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang semalam.

Beliau berkata, cadangan tersebut sejajar dengan kenyataan Timbalan Naib Canselor Prof. Dr. Tajuddin Ninggal dalam suatu upacara rasmi Universiti sebelum ini.

Beliau juga berpendapat, penggunaan perkataan 'mahasiswa' pada pertubuhan-pertubuhan siswa Universiti sekali gus mengiktiraf kedudukan mahasiswa sebagai kelompok intelektual terpilih di peringkat Universiti.

Beliau turut memaklum inti perbincangan ProM UTM dengan pentadbiran Universiti, sebelum upacara penyerahan memorandum dilakukan.

"Dalam pertemuan tadi (Isnin), perbincangan kami lebih menumpu pada bagaimana semua pihak dapat bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pembangunan Mahasiswa dan melestarikan ilmu di semua peringkat," dipetik dari laman rasmi ProM UTM, promahasiswautm.blogspot.com

Dalam perkembangan yang sama, lebih 50 orang mahasiswa berhimpun di lobi pejabat pentadbiran Universiti menuntut diadakan Majlis Pengenalan Calon dan kebebasan berkempen dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijangka umum diadakan pada awal Januari depan.

Baca seterusnya...

Majlis Ilmu di IPT Perlu Babit Pelajar, Masyarakat

PENGANJURAN majlis ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) sepatutnya terbuka kepada pelajar dan masyarakat, bukan eksklusif untuk ahli akademik dan kakitangan sesebuah universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim, berkata pihak berkenaan juga perlu diberi peluang supaya mendapat pendedahan mengenainya.

Katanya, selain menambah ilmu, peluang itu juga boleh dimanfaat untuk mengeratkan hubungan antara universiti dengan komuniti luar serta mempraktikkan ketelusan antara pentadbiran IPT dan pelajar.

Beliau berkata, fungsi universiti perlu diperluas sebagai pusat pengantarabangsaan, yang mana warganya mencerminkan bangsa global, jangan hanya hebat di dalam negara tetapi di peringkat dunia ketinggalan.

“Contohnya dalam bidang penyelidikan, kita perlu bersikap lebih terbuka dengan mengambil kakitangan dari luar negara jika mahu bersaing dengan universiti terkemuka.

“Cara kerja pensyarah pula perlu diubah. Utamakan dan lebihkan fokus terhadap bidang akademik, bukan kerja sambilan seperti memberi khidmat nasihat atau perkara lain.

“Tidak mustahil kita juga mampu setanding Stamford University dan Harvard University yang mana kebanyakan pensyarahnya adalah jutawan hasil royalti dan pengkomersialan penyelidikan,” katanya ketika menyampaikan Wacana Intelek bertajuk Trial and Tribulation of an Excellent Academic di Serdang, baru-baru ini.

Sambil menjelaskan setiap kakitangan akademik perlu merealisasikan impian dalam bidang masing-masing, Syed Jalaluddin berkata, aspek diperlukan golongan pendidik di IPT ialah motivasi dan kesungguhan menjayakan sesuatu di samping kerja keras dan kerjasama berpasukan.

Beliau berkata, jangan tunggu hingga naib canselor atau dekan memberi arahan untuk melakukan sesuatu tugasan, sebaliknya jika ada idea bernas terus suarakan.

“Ia mestilah disertakan kertas kerja dan cadangan yang baik untuk meyakinkan pihak pentadbir kerana seperti sudah menjadi lumrah kita takut bersuara sebab bimbang perlu mengepalai sesuatu tugasan.

“Tugas pensyarah bukan sekadar mengajar, tetapi memberi inspirasi kerana akhirnya masyarakat akan menilai dari segi kualiti pelajar yang dihasilkan.

“Bukan hebahan atau iklan menaikkan nama sesebuah universiti sebaliknya apa yang lakukan seperti kejayaan program ditawarkan dan penyelidikan yang mampu membuatkan kita bertaraf dunia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca seterusnya...

Lapan Kajian UMS Menang Pingat

UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) memenangi lapan pingat pada Persidangan Bioteknologi (BioMalaysia 2009) berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.

Ketua kontinjen UMS yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rosnah Ismail, berkata universiti itu meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa berdasarkan kajian dalam bidang pertanian/industri asas tani serta penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.

Katanya, tiga emas dimenangi Prof Madya Dr Chye Fook Yee melalui kajian Acti-Yo, Prof Madya Dr Charles S Vairappan (Actiderm) dan Sim Kheng Yuen (MYFis).

Dua perak dimenangi menerusi projek Lestani: A Potential Biofungicide for Present and Future Control of Ganoderma Boninse (Chong Khim Phin) dan Dr Julian Ransangan (MyVNNeasy Detection Kit).

“Gangsa pula dimenangi Prof Madya Dr How Siew Eng (Osadhi Sensation: Natural Fragrances For Well Being), Prof Madya Dr Vijay Kumar (Plant Total RNA Isolation Kit) dan Ruzaidi Azli Mohd Mokhtar (Innovative Screening Method of Potential AntiDiabetic Plants),” katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan bioteknologi terbesar Malaysia itu menjadi platform mengumpulkan idea bernas, penyelesaian praktikal dan kerjasama berkesan di kalangan pakar dalam bidang teknologi bioteknologi dari dalam dan luar negara.

Pada persidangan itu, Rosnah berkata, UMS bertanding dengan lebih 100 peserta antarabangsa, universiti, pusat penyelidikan, agensi kerajaan dan syarikat swasta tempatan.

“Kita akan berusaha memenangi lebih banyak pingat pada masa depan, sekali gus menaikkan lagi nama universiti ini di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca seterusnya...

Semester IPT Dijangka Ikut Kalendar Luar Negara

Kalendar akademik pengajian tinggi dijangka dikaji semula bagi membolehkan ia selaras dengan kalendar akademik luar negara, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penyelarasan kalendar akademik itu secara tidak langsung akan dapat menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk menyambung pengajian di negara ini.

Selain itu, katanya, perubahan itu juga akan melancarkan lagi proses mobiliti pelajar dan pensyarah ke luar negara dan sebaliknya.

"Sekarang sesi pembukaan pengajian tinggi di sini ialah pada Julai sedangkan kebanyakan universiti luar negara bermula sekitar Ogos dan September.

"Bagaimanapun sebarang perubahan bergantung kepada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran pada minggu depan," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Mohamed Khaled berkata sebarang perubahan juga akan memberikan kesan kepada kalendar persekolahan, jadi banyak perkara perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu.

Sebelum itu beliau merasmikan prapelancaran Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 yang akan bermula pada 9 Januari hingga 27 Mac 2010.

Majlis perasmian karnival itu dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor.

Sumber: Malaysiakini

Baca seterusnya...

Keperluan Penta’diban ke Atas Para Pemimpin Masyarakat (dan Negara)

Oleh:
Wan Mohd Nor Wan Daud
“Dalam Terang”

Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjangnya umur
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:
Pada bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikam gunung
Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung,

Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadap pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman adabi medan penta’diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan.

Terdapat banyak lagi puisi-puisi yang Prof Wan Mohd Nor garapkan didalam karya-karyanya, berkisar tentang keperluan untuk setiap ahli masyarakat kita berasa insaf terhadap apa yang sedang berlaku dalam diri kita (setiap diri). Ini adalah salah satu puisi yang mendalam maksudnya, sesuai untuk segenap lapisan peringkat ahli masyarakat, terutamanya bagi para pemimpin (umara’),

Adalah sangat disyorkan puisi-puisi beliau dikupas di diperingkat sekolah menengah supaya anak muda dapat menilai sejak dari awal tentang apa yang perlu mereka lakukan. Perkara ini adalah lebih dari pada hanya sekadar untuk lulus peperiksaan.

Untuk menjadi doktor, amat perlu kepada latihan intensif sebagi seorang doktor. Untuk menjadi jurutera, perlukan juga latihan intensif bagi mendapatkan taraf professional. Begitu juga sebagai seorang akauntan dan bidang-bidang aplikasi ilmu yang lain. Jika begitulah keadaannya, adalah lebih utama lagi, untuk para pemimpin menjalani latihan intensif sebagai persediaan sebagai seorang pemimpin masyarakat dan negara.

Oleh itu, memang menjadi keperluan mewujudkan institusi bebas bagi menjalankan proses penta’diban ke atas para pemimpin masyarakat sebagai persediaan melahirkan pemimpin yang berwibawa, berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan.

Diperingkat anak muda gerakan Islam, sudah perlu menyediakan diri untuk mengambil kisah tentang perkara-perkara kompleks yang melibatkan perjalanan sistem kenegaraan, seperti ekonomi negara, perundangan negara, pendidikan dan sebagainya.

Untuk mencapai tahap ini, kesedaran dalaman sangat penting supaya dapat mengasak diri berusaha bersungguh-sungguh berdikari dalam menuntut ilmu dengan mencari guru-guru bagi setiap disiplin ilmu yang dipelajari serta mentelaah karya-karya mereka, sama ada masih hidup atau meninggal dunia. Jika sudah tiada, carilah anak-anak murid mereka dan belajarlah dari mereka.

Anak muda perlu ada tahap kesedaran yang maksima untuk melakukan anjakan paradigma dalam berfikir dan bertindak.

Dan yang lebih penting, Pandangan alam Islam harus menjadi dasar kepada cara kita berfikir. Pandangan alam Islam adalah rahsia hati manusia tentang bagaimana seseorang individu itu menginterpretasikan apa yang berlaku disekeliling mereka, mengikut pandangan alam Islam, berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Wallahu ‘alam.

Sumber: http://hadifulwan.wordpress.com

Baca seterusnya...

Seluruh Pemimpin Mahasiswa Perlu Tampil Bantah BTN

Oleh: Ahmad Syukri bin Che Ab Razab*


Dasar BTN yang Tersasar


Rata-ratanya umum sudah mengetahui doktrinisasi yang diamalkan UMNO melalui BTN yang sememangnya berbaur kepentingan politik dan perkauman yang melampau. Membakar semangat kemelayuan, membunuh simpati terhadap pembangkang dan kemudian mendewa-dewakan UMNO sebagai penyelemat bangsa terus menjadi modus operandi BTN untuk memelihara survival UMNO.

Sepanjang pengalaman menyertai program BTN di sekolah, memang cukup menyedihkan apabila melihat penceramah yang memiliki mustawa ilmu yang cukup tinggi namun sanggup menjadi balaci yang membenarkan pembohongan. Pada perkiraan saya, BTN tidak lagi memainkan peranan yang sebenar dalam memupuk semangat patriotisma namun lebih menjurus kepada perpecahan akibat sentimen permusuhan politik dan bangsa.

Pembawaan dengan cara doktrin paksa.


Boleh dikatakan setiap penjawat awam perlu menghadiri program yang diadakan secara khusus oleh BTN mahupun slot-slot kecil yang ditumpang oleh wakil BTN. Diperingkat mahasiswa pula, kebanyakan pelajar yang menganggotai Majlis Perwakilan Mahasiswa akan dibawa untuk mengikuti kursus BTN yang kebiasaannya menjadi aktiviti awal untuk setiap sesi kepimpinan. Maka disaat inilah kerajaan Barisan Nasional melalui BTN akan sehabis mungkin cuba menyebarkan doktrin secara paksa agar setiap inci isi rakyat tunduk dan patuh pada telunjuk pemerintah.

Ini menjawab persoalan mengapa wujudnya rasa takut pegawai kerajaan untuk melahirkan sokongan terhadap pembangkang bahkan wujud sentimen yang menyifatkan bahawa tanpa UMNO negara akan huru-hara. BTN juga dilihat menyumbang kepada kemandulan idealisma mahasiswa hasil daripada cerapan anti-pembangkang yang dikatakan tidak patriotik. Tindakan agresif mahasiswa terdahulu disifatkan sebagai pemecah belah bangsa dan tidak berlunaskan adab perlembagaan.

Maka nama-nama tokoh mahasiswa seperti Anwar Ibrahim dan Hishamudin Rais dilabel sebagai agen penjajah yang cuba merosakkan kemerdekaan tanah air melalui tindakan subversif yang menggugat keamanan. Inilah bentuk paksaan minda yang diamalkan oleh BTN bagi memastikan pesertanya meyakini bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

BTN membantutkan daya intelektual masyarakat


Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah pencapaian status negara maju, pembinaan minda rakyat juga seharusnya dibenarkan untuk berkembang secara bebas selaras dengan tahap intelektual berkelas dunia. Kerajaan Barisan Nasional seharusnya meneladani kepimpinan negara-negara maju yang mampu bersifat terbuka terhadap persepsi masyarakat samada negatif mahupun positif.

Presiden Indonesia misalnya, beliau mampu mempamerkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin berwibawa apabila beliau bukan sahaja tidak menyekat rakyatnya melakukan demonstrasi, bahkan menasihatkan agar rakyatnya menjaga keselamatan semasa berdemonstrasi.

Namun keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia apabila semangat reformasi rakyat terus dihalang melalui kekangan kuasa dan jiwa rakyat terus tekan melalui doktrinisasi BTN. Natijahnya, wujud sebahagian rakyat Malaysia yang terus dibelengu dengan ketakutan terhadap perubahan lantas mereka sanggup duduk terperuk dan melayan ugutan pemerintah terhadap periuk nasi mereka.

Pemimpin Mahasiswa Perlu Bangkit


Kini sudah tiba masanya untuk mahasiswa tampil dan membantu dalam memulihkan kembali integriti rakyat Malaysia yang pada pandangan saya amat jauh ketinggalan berbanding rakyat negara maju yang lain. Saya tidak memaksudkan rakyat Malaysia secara kolektif, namun ada sebilangan besar yang telah dijangkiti sindrom ketakutan dan konflik kepercayaan akibat saduran BTN yang melampaui hak kebebasan minda untuk berfikir dan memilih. Maka rakyat sedang menanti satu suara yang mampu menggegarkan suasana kondusif pemerintah agar mereka tidak menyisih pandang tuntutan rakyat ini.

BTN sudah tidak relevan dengan zaman kebebasan ilmu pengetahuan serta tahap pemikiran masyarakat yang semakin berkembang maju. Oleh itu BTN perlu dirombak atau dimansuhkan secara total.

Maka saya menyeru setiap pemimpin mahasiswa untuk tampil dan menyuarakan pendirian bahawa mahasiswa menuntut agar kerajaan mengkaji semula perlaksanaan BTN melalui rombakan diperingkat dasar mahupun pemansuhan BTN secara total.

Mahasiswa menyokong sebarang usaha untuk membina semangat patriotisma yang tinggi, namun mahasiswa juga meyakini bahawa BTN bukan jalan tunggal untuk usaha tersebut.

*Penulis ialah Pengerusi Kelab Bahasa Dan Sastera (BAHTERA) merangkap aktivis Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Baca seterusnya...

IPT Jangan Salah Guna Istilah 'Antarabangsa'

Institut pengajian tinggi (IPT) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan istilah 'antarabangsa' pada setiap program yang mereka anjurkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata jika menyebut antarabangsa, maka sebahagian peserta yang menghadiri program antarabangsa yang mereka anjurkan mestilah datang dari luar negara.

"Saya telah banyak menghadiri program anjuran IPT yang disebut sebagai antarabangsa tetapi bilangan peserta luar negara hanya dua hingga tiga orang sahaja," katanya kepada pemberita selepas menutup forum antarabangsa pengajian tinggi di Pulau Pinang hari ini.

Forum empat hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) yang dihadiri 213 peserta dari 32 buah negara.

Saifuddin turut mengingatkan IPT supaya memilih pendekatan yang benar-benar relevan dengan budaya dan tradisi di Malaysia khususnya dalam pengukuran tahap kecemerlangan masing-masing.

"Bukan semua kaedah dan pendekatan yang diguna pakai oleh universiti di Eropah dan Amerika Syarikat sesuai dengan budaya dan tradisi negara kita.

"Oleh itu setiap universiti di negara ini harus ada cara sendiri untuk mengukur tahap kecemerlangan ilmu agar sesuai dan relevan dengan amalan di negara kita," katanya.

Saifuddin berkata Kementerian Pengajian Tinggi juga telah memulakan sistem setara sejak 2006 iaitu piawaian yang digunakan untuk mengukur perkembangan setiap IPT di negara ini.

"Sistem ini juga merupakan salah satu komitmen kementerian dalam pengukuran tahap kecemerlangan ilmu yang sesuai dengan keperluan budaya dan tradisi kita," katanya.

Sumber: BERNAMA

Baca seterusnya...

Mahasiswa Anjur Forum Terbuka Bantah E-Voting

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (Bantah) akan menganjurkan satu forum sebagai usaha meneruskan kempen mereka memberi kesedaran kepada masyarakat kampus berhubung kesan terhadap demokrasi kampus jika pengundian secara elektronik (e-voting) dilaksanakan pada Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang.

Mereka dengan kerjasama wakil fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) akan menganjurkan forum terbuka bertajuk 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' yang dijadual berlangsung jam 8 malam 1 Januari ini bertempat di Dewan Utama Akademi Pengajian Islam UM.

Tiga ahli panel yang akan ditampilkan termasuk pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Perisian Fakulti Sains Komputer dan Teknologi maklumat UM, Dr. Chiew Thiam Kian dan seorang bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Chang Lih Kang yang juga ADUN Teja.

Pengerusi Bantah, Mohd Aizat Salleh (gambar) ketika dihubungi memberitahu penganjuran tersebut sebgai usaha berterusan gabungan pelajar itu membantah e-undi dan memberi kesedaran kepada pelajar berhubung demokrasi kampus.

"Kita anjur forum ni kerana mahu menyedarkan student tentang demokrasi kampus.

"Kita cuba tampilkan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk menjelaskan kepada kita tentang kesan e-voting ini," katanya ketika dihubungi.

Ditanya berhubung kesan membawa masuk ahli politik sebagai panel forum tersebut, Aizat memberitahu ianya tiada masalah kerana program itu anjuran wakil fakulti dan tidak berkaitan dengan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Sebelum ini lapan mahasiswa UM telah didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana dituduh membawa masuk ahli politik ke dalam universiti

Mereka dihadapkan ke perbicaraan oleh Tribunal Universiti dan dituduh melakukan kesalahan disiplin dibawah seksyen 16 (c) Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999. Bagaimanapun kesemua mereka telah dibebaskan dan dibuktikan tiada kes.

Bantah disertai lebih 18 organisasi mahasiswa seluruh negara memperjuangkan supaya sistem e-voting bagi PRK akan datang dimansuhkan kerana didakwa terdapat bayak ruang yang boleh dimanipulasi dan disalahguna pihak berkepentingan.

Beberapa memorandum bantahan juga telah diserahkan kepada pelbagai pihak termasuk kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) agar hasrat itu dikaji semula.

Sumber: Harakahdaily

Baca seterusnya...

Kenyataan Media Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia Negeri Sabah (GAMIS SABAH)

Mahasiswa memandang berat serta prihatin akan masalah bekalan air yang melanda Wilayah Persekutuan Labuan. Masalah ini telah mengakibatkan beberapa institut pengajian tinggi awam yang terdapat di Labuan terutama UMS-KAL turut mengalami masalah yang sedemikian .

Menurut hasil maklumat dan pemantauan yang dibuat oleh Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS-KAL, Sdra. Abdillah Bin Matlin, majoriti mahasiswa di kampus berkenaan telah merungut kerana masalah ini telah lama berlarutan sehingga kini dan mengakibatkan ketidakselesaan berlaku di kalangan mahasiswa dalam menjalani sesi pengajian mereka. Tambahan beliau lagi, perkara ini telah menyebabkan masalah-masalah lain di kalangan masyarakat kampus telah timbul seperti kesukaran pelajar untuk menjaga kebersihan diri seperti membasuh pakaian dan mandi, keadaan bilik kuliah yang panas kerana penghawa dingin tidak dapat berfungsi dengan baik dan sebagainya.

Justeru itu, pihak MPP-KAL merasa bertanggungjawab dalam membantu menyelesaikan masalah ini. Oleh yang demikian, pihak MPP-KAL akan menghantar delegasi untuk menghantar memorandum mengenai isu air ini kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 07 Disember 2009 bersamaan hari Isnin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Turut bersama-sama dalam delegasi berkenaan adalah Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Solidarity Mahasiswa Malaysia (SMM), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M(n)), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) serta Markas Siswa Siswi Islam Sabah Sarawak (MARSIS).

Sehubungan dengan itu, pihak Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Sabah (GAMIS Sabah) menyokong tindakan pihak MPP-KAL menghantar delegasi menyerahkan memorandum berkaitan isu ini kepada Perdana Menteri Malaysia dalam membantu menangani masalah bekalan air ini di kampus mereka sekaligus di Wilayah Persekutuan Labuan.

SDRA. MUHAMMAD AFIQ BIN NORDDIN
YANG DIPERTUA
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA NEGERI SABAH
(GAMIS SABAH)

05 Disember 2009 (Sabtu)

Baca seterusnya...

2009 dan Jatuh Bangun Gerakan Mahasiswa Malaysia


Oleh: Mohd Aizat Salleh*

Sewajarnya, untuk membandingkan aktivisme gerakan mahasiswa dahulu, dengan gerakan mahasiswa hari ini adalah amat tidak releven. Seumpama meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

Mahasiswa dahulu diambil kira kehebatannya melalui gerakan-gerakan demonstrasi dan siri-siri desakan yang kebanyakannya menuju kepada pihak pemerintah. Sebagai contoh dalam tahun 1974, mahasiswa menggerakkan demonstrasi 5,000 rakyat di Kelab Sultan Selangor mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah kemiskinan di Baling.

Lebih dari itu pada tahun yang sama di Universiti Malaya, mahasiswa yang diketuai presiden PMUM Kamaruzzaman Yaakub, membina sejarah apabila mengambil alih pentadbiran UM hanya kerana isu kenaikan harga makanan.

Nampak ketika itu, mahasiswa begitu konsisten bersifat radikal dan desakan dan ia diterima sebagai satu perjuangan di mata rakyat.

2009 dan gerakan mahasiswa

Tempoh setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-12, membuka dimensi baru gerakan mahasiswa dalam membentuk landskap negara Malaysia. Terkesan dengan angin perubahan yang melanda rakyat, lalu memberi impak kepada kemenangan kumpulan Pro Mahasiswa di kampus Universiti Malaya setelah hampir enam tahun dikuasai kumpulan Pro Kerajaan.

Bermula kemenangan itu, mahasiswa mula membuka satu lapangan baru dalam mendepani isu-isu serta mencorak gerakan. Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional (BBMN) telah diwajahkan kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Perjuangan bercorak negosiasi profesional membawa MPMN menjuarai isu-isu sosial nasional negara.

Permulaan gerakan, transformasi Malaysia

Kegagalan kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menangani kebajikan rakyat, kemelesetan ekonomi, serta hubungan kaum dan agama, membawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membentuk satu ‘Deklarasi Mahasiswa’ demi menyelamatkan generasi dan Malaysia.

Satu kongres telah diadakan di Shah Alam yang dihadiri front-front mahasiswa seluruh Malaysia bagi membincangkan domain-domain penting ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Antaranya aspek hubungan kaum, kedudukan agama, perlembagaan dan demokrasi, undang-undang, pendidikan, pembangunan ekonomi dan hak-hak asasi rakyat Malaysia.

Perjuangan rakyat antarabangsa

Pertengahan bulan Julai, mahasiswa sekali lagi turun di jalanan apabila membantah perlakuan kejam pembunuhan beramai-ramai di masjid wilayah Selatan Thailand. Hampir 1000 mahasiswa berarak bermula dari Masjid As-Syakirin ke kedutaan Thailand dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan.

Beberapa rakan-rakan aktivis yang ditahan atas provokasi polis namun dilepaskan selepas 6 jam dalam tahanan.

Mahasiswa membela rakyat

Mahasiswa sentiasa menjadi urat nadi kepada kesengsaraan rakyat yang ditindas dan dizalimi. Seringkali suara-suara rakyat digemakan mahasiswa melalui perjuangan pembelaan kelompok kecil dan marhaen.

Isu kudeta negeri Perak pada bulan Februari menjadi perhatian mahasiswa apabila GAMIS dan SMM bertindak memobilasi mahasiswa dalam perhimpunan rakyat Perak di Masjud Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.

Dalam masa yang sama di Istana Negara, kumpulan-kumpulan mahasiswa yang prihatin dan simpati dengan perjuangan rakyat Perak telah menghantar satu memorandum bantahan kudeta kepada Yang Dipertuan Agung. Di dalam tuntutan tersebut, mahasiswa mendesak agar dibubarkan segera DUN Perak bagi memberi mandat kepada rakyat Perak memilih pemimpin.

Selain daripada itu, isu kekurangan bekalan air kepada masyarakat Labuan pada awal Disember, telah sekali lagi mendesak mahasiswa yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) dan MPMN bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi membincangkan penyelesaiannya. Pihak kerajaan akhirnya bersetuju menimbangkan tuntutan mahasiswa di dalam isu tersebut.

Membela hak mahasiswa

Disamping menjadi suara penghubung antara rakyat kepada pemerintah, gerakan mahasiswa turut tidak terlepas dalam memperjuangkan isu yang menimpa hak-hak mahasiswa.

Umpamanya di dalam isu kenaikan harga yuran yang terlampau tinggi dan membebankan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), telah mendesak tertubuhnya gerakan mahasiswa sedar (GMS) yang menuntut agar pentadbiran KUIS mengkaji dan menurunkan yuran segera. Perjuangan ini mendapat perhatian Menteri Besar Selangor dan akhirnya membuat keputusan memberikan peruntukan kebajikan khas kepada mahasiswa.

Desakan demi desakan keatas undang-undang yang cuba menyekat aktivisme serta membunuh idealisme mahasiswa terus giat dilakukan. Apabila kerajaan bersetuju untuk menggunakan sistem E-Undi di dalam pilihan raya kampus (PRK) , mahasiswa seluruh universiti bangkit dan menubuhkan satu gerakan yang dinamakan Gabungan Mahasiswa Membantah E-Voting (BANTAH), dengan bermatlamat menyekat berlakunya pencabulan demokrasi kampus melalui sistem ini.

Dan pada bulan November, gerakan ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan mahasiswa kepada menteri dan timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), setelah satu himpunan bantahan E-Voting dilancarkan di UPM.

2009 dan gelombang baru mahasiswa

Tahun 2009 menyaksikan satu gelombang bentuk baru kepada gerakan mahasiswa telah terjadi. Seakan mahu mengembalikan kegemilangan gerakan mahasiswa era 80-an namun dalam dimensi baru yang lebih terkehadapan.

Status check and balance kepada kerajaan pemerintah, mahupun mana-mana pihak masih lagi menjadi prinsip utama gerakan mahasiswa yang tegar untuk digugah walau zaman demi zaman telah berlalu. Mahasiswa akan kekal menjadi kelompok watch dog, menyuarakan pandangan tanpa dikongkong, menjadi benteng pertama rakyat dan bersedia menggantikan kepimpinan seandainya ia memerlukan.

Apa yang pasti, sekatan dan tekanan kepada mahasiswa pasti akan berlangsung tanpa henti. Namun, ini sekali-kali bukan menjadi tunggul yang menghalang dari gerakan itu mati atau rebah sekalipun semua pemimpinnya dibunuh.

Benar seperti ungkapan seorang tokoh aktivis mahasiswa, “Kerajaan atau mana-mana pihak boleh memenjarakan mahasiswa, namun mereka tidak boleh menghalang kebangkitan mahasiswa!”.

————

*Aizat Salleh ialah exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dan suka mengajak rakan aktivis kepada revolusi pemikiran vis-à-vis ‘Liberal Syariatik’. Malah dengan secawan kopi, beliau mudah berkongsi idea dan pandangan. Kini beliau menerajui Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (BANTAH)

Baca seterusnya...

GMS Gesa Wakil Rakyat Serius Selesai Masalah Air Labuan

Bangi 10 Disember 09:37 a.m - Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) menggesa wakil rakyat YB Hj Yusoff Bin Mahal memberi perhatian serius kepada isu air yang melanda wilayah persekutuan tersebut.


“GMS juga ingin menggesa wakil rakyat Labuan YB Hj Yusoff Bin Mahal untuk memberi perhatian yang serius berhubung isu ini.

Bertepatan dengan konsep 1 Malaysia yang menjadi tema kepimpinan Perdana Menteri, GMS berharap wakil rakyat labuan dapat turun padang untuk mendengar rintihan seterusnya memberi penjelasan yang memuaskan kepada masyarakat labuan.

Biarpun isu air labuan merupakan permasalahan yang rumit, namun tindakan berdiam diri tanpa penjelasan yang memuaskan kepada rakyat hanya akan mengundang rasa tidak puas hati yang berterusan,” ujar Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil selaku pengerusi GMS dalam kenyataan media gerakan berkenaan semalam.

GMS yang berpusat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) semalam bersama-sama melalui Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyerahkan memorandum kepada perdana menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkenaan isu air berkenaan.

Wilayah Persekutuan Labuan dilaporkan menghadapi masalah bekalan air yang serius sehingga bekalan air terpaksa dicatu disamping menghadapi masalah paip berkarat dan kualiti air yang kurang bersih.

Keadaan berkenaan didakwa bukan sahaja menyusahkan mahasiswa penuntut universiti sekitar Labuan, tetapi juga menghimpit sebahagian penduduk Labuan kerana tidak cukup sumber asasi kehidupan.

Terdahulu, GMS memndaapt perhatian media dengan bantahan terhadap yuran kolej universiti berkenaan yang didakwa “mencekik darah” dan “tidak munasabah”.

Pentadbiran tertinggi kolej universiti juga kurang prihatin dengan masalah tersebut disamping Majlis Perwakilan Pelajar yang “kurang berfungsi”.

Namun, gerakan tersebut telah membuat beberapa pertemuan dan inisiatif dalam menyelesaikan masalah kebajikan berkenaan termasuk bertemu Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

“Bukan sahaja di KUIS, tapi kami juga cakna pada kampus lain dalam isu kebajikan mahasiswa,”tambah seorang wakil GMS.

Baca seterusnya...

Masalah Air Desak Mahasiswa ke Putrajaya


Putrajaya 08 Disember 07:58a.m │Putrajaya - Berikutan masalah bekalan air yang terus yang telah melanda Wilayah Persekutuan Labuan telah mendesak mahasiswa terutamanya dari Sabah dan Sarawak turun ke Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Penyerahan memorandum berkenaan diketuai oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) disamping beberapa front yang bernaung bersama dibawah koalasi mahasiswa berkenaan termasuk Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), serta Markas Siswa Siswi Islam Sabah Sarawak (MARSIS).

Majoriti mahasiswa di negeri berkenaan telah merungut kerana masalah ini telah lama berlarutan sehingga kini dan mengakibatkan ketidakselesaan berlaku di kalangan mahasiswa dalam menjalani sesi pengajian mereka.

Tambahan lagi, perkara ini telah menyebabkan masalah-masalah lain di kalangan masyarakat kampus telah timbul seperti kesukaran pelajar untuk menjaga kebersihan diri seperti membasuh pakaian dan mandi, keadaan bilik kuliah yang panas kerana penghawa dingin tidak dapat berfungsi dengan baik dan sebagainya.

“Usaha ini sebagai memperjuangkan kebajikan mahasiswa di sana (Sabah), dalam masa yang sama demi kebaikkan penduduk di Labuan,”ujar seorang wakil dari Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia Negeri Sabah.

Memorandum berjaya diserahkan kepada Pegawai Khas Perdana Menteri.

Sumber: Mahasiswakini

Baca seterusnya...

Demo: Lapor Polis untuk Ketenteraman, Bukan Menghalang

KUALA LUMPUR, 4 Dis - Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Baihaqi Atiqullah menjelaskan laporan polis yang dibuat pihaknya berhubung demonstrasi Umno Kelantan di hadapan bangunan Kota Darul Naim bukan berniat menghalang mana-mana perhimpunan rakyat.

Sebaliknya, beliau berpendapat mana-mana perhimpunan yang mahu diadakan perlu mengikut peraturan serta mendapatkan permit Polis terlebih dahulu.

“Nak berhimpun, kita (Pemuda) tidak ada masalah. Sebagaimana kita (Pemuda PAS) diminta dapatkan permit polis, kita minta (Umno Kelantan) buat permintaan (permit berhimpun) yang sama,”jelasnya.

Jelasnya lagi, keputusan membuat laporan Polis tersebut demi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

“Kita buat (laporan) kerana tidak mahu ada gangguan ketenteraman awam di SUK (Bangungan Setiausaha Kerajaan Negeri),” jelasnya.

Beliau yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, Perhimpunan 10 ribu menyokong kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pagi ini turut dimaklumkan kepada Polis.

“Kita pun maklum kepada Polis…kita (Pemuda PAS) ambil kesempatan dengan perhimpunan biasa yang sah pagi ini (iaitu kuliah Jumaat).”

Beliau berketa demikian ketika diminta mengulas kritikan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhubung laporan polis yang dibuat Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPK) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang berhubung dua perhimpunan tanpa permit di kedua-dua negeri terbabit.

Pengerusinya, Shazni Munir Mohd Ithin berpendapat laporan polis tersebut adalah cubaab menghalang perhimpunan rakyat, sebagaimana yang dijamin perlembagaan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UHDR).

Dakwanya lagi, amalan mendapatkan permit berhimpun daripada Polis merupakan amalan Umno dan BN demi mengekang suara rakyat.

“Orang yang nak desak satu-satu perhimpunan perlu ada permit Polis macam Umno. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak perlu ikut Umno menghalang perhimpunan aman,” ujarnya.

Kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat katanya seharusnya bersikap terbuka dalam aksi demontrasi rakyat, termasuk Umno sendiri.

“Demontrasi rakyat tidak kira mana pihak sekalipun, walau datangnya dari Umno, kerajaan perlu bersikap terbuka.”

“Kalau dulu sebelum memerintah, pembangkang (Pakatan Rakyat) selalu melaung-laungkan kebebasan berhimpun (walaupun) tanpa permit Polis, kenapa hari ini mendesak pihak yang dibangkang (Umno/BN) mendapatkan permit Polis terlebih dahulu,” ujarnyalagi.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) meminta pihak yang terbabit menarik semula laporan polis dan segera meminta maaf kepada rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Amir Ghazali pula dalam responnya memberitahu laporan polis yang dibuat pihaknya bukan berniat menghalang perhimpunan tanpa permit.

Sebaliknya, laporan tersebut berkaitan tindakan pemuda Umno negeri menggoncang pagar Dewan Undangan Negeri (DUN), yang didakwa berunsurkan provokatif.

“Kita buat laporasn polis bukan kerana perhimpuan haram…kita buat laporan Polis kerana provokasi pemuda Umno menggoncang pagar DUN Pulau Pinang.”

Jelasnya, tindakan provokasi itu sekali gus seolah-olah menghina kewibawaan DUN dan kerajaan yang memerintah.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya turut membuat laporan polis berkaitan laporan palsu TV3 kononnya perhimpunan pemuda Umno tersebut ekoran sikap kerajaan negeri membohongi rakyatnya.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa AMK menggalakkan sebarang perhimpunan aman sebagaiman yang dijamin dalam Perlembagaan dan UHDR.

Isnin lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri melancarkan demontrasi di depan DUN Pulau Pinang.

Demontrasi tersebut ekoran beberapa tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak menguntungkan rakyat.

Selasa lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri berhimpun di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK) membantah kepemimpinan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bantahan tersebut ekoran kenyataan Nik Aziz menyeru rakyat berdoa agar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dibinasakan kerana enggan memberikan hak menguruskan wang royalti minyak negeri itu.

Harakahdaily

Baca seterusnya...

PRU-13: Solidariti Mahasiswa Boikot Pakatan Jika Tak Berubah

PETALING JAYA, 4 Dis — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memberi kata dua akan memboikot Pakatan Rakyat khususnya PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika kedua-duanya gagal mengubah tindak tanduknya yang sejak kebelakangan ini kelihatan bertentangan dengan prinsip politik baru yang pernah dijanjikan.

Gerakan pelajar institusi pengajian itu menegaskan pihaknya tidak akan menjana sokongan generasi muda — dianggarkan dalam sekitar sejuta orang — dalam pilihan raya umum ke-13 jika PAS dan PKR terus memperlihatkan kenyataan dan tindakan yang tidak lagi mendukung prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun.

PR mencapai kemenangan luar biasa pada Mac 2008, sebahagiannya disebabkan oleh sokongan dan pengaruh pengundi generasi muda.

“Justeru, mahasiswa pada hari ini menggesa agar gesaan dan tuntutan ini dapat diambil tindakan perubahan yang agresif oleh ahli-ahli dan kepimpinan Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (PKR).

“Mahasiswa juga meminta supaya kepimpinan pemuda kedua-dua parti ini dapat mengetepikan ego dan tidak bersikap sombong dalam mengambil pandangan rakyat khususnya mahasiswa yang memang cenderung untuk melihat kesejahteraan rakyat,” kata Pengerusi SMM Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin pada sidang media di sini pagi ini.

Sehubungan itu SMM meletakkan empat tuntutan iaitu:
  • menarik balik laporan polis yang telah dibuat (minggu ini) kerana ia ternyata bertentangan dengan prinsip mereka sebelum ini
  • memohon maaf kepada rakyat Malaysia secara terbuka atas penipuan dan ketidakjujuran mereka dalam memperjuangkan hak-hak rakyat untuk berhimpun secara aman
  • membuat penentuan semula sikap mereka terhadap usaha penganjuran demonstrasi dan jika sememangnya benar mereka melihat demonstrasi mengganggu gugat kestabilan politik dan sebagainya, maka mereka perlu isytiharkan kepada rakyat terutama rakyat yang telah memilih mereka.
  • mengambil sisi politik yang matang dan tidak oportunis dalam mengambil tindakan terutama selepas memegang kuasa pemerintahan.
Laporan polis itu merujuk kepada tindakan Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang ekoran tunjuk perasaan yang diadakan masing-masing di George Town dan Kota Baru beberapa hari lalu.
SMM mempunyai kira-kira 5,000 ahli dengan ia dianggotai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Pro Mahasiswa Nasional, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa dan Mahasiswi, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Mengulas lanjut, Shazni Munir berkata laporan polis yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang telah mengundang pelbagai respons daripada banyak pihak.

“Namun yang dominannya ialah banyak pihak yang telah mula meragui kejujuran dalam berprinsip yang mereka uar-uarkan kepada rakyat selama ini.

“Ia merupakan satu tindakan yang dilihat sangat membelakangi prinsip-prinsip hak untuk berhimpun yang mereka pegang selama ini.

“Mereka yang sebelum ini gah mencanang kata bahawa rakyat perlu diberi hak untuk berhimpun secara aman tanpa gangguan pihak polis telah bertindak sebaliknya apabila tindakan rakyat terkena batang hidung mereka sendiri,” katanya.

Kata beliau, perkembangan itu menunjukkan PAS dan PKR juga dilihat telah membelakangkan suara rakyat yang memilih mereka sebelum ini.

Pulau Pinang dan Kelantan merupakan dua daripada empat negeri yang kini dipimpin kerajaan negeri PR.

“Pada mahasiswa, jika dilihat kepada kenyataan (dikeluarkan pemimpin Pemuda PAS dan PKR), amat serupa dengan mana-mana hujah pimpinan Umno-BN apabila PKR melakukan demonstrasi (gerakan BERSIH, dasar PPSMI dan anti-ISA).

“Justeru kita ingin menimbulkan persoalan adakah sememangnya selepas PAS dan PKR memerintah, mereka akan bertindak sama seperti Umno-BN memerintah?

“Jika begitu halnya, apa perbezaan PR dan BN dalam hal hak rakyat untuk berhimpun ini?” soal beliau yang menafikan pihaknya mendapat sokongan Umno-BN dalam mengecam PAS dan PKR.
Sehubungan itu hujah beliau, SMM juga pernah menyokong gerakan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara Ogos lalu.

“Kami berkecuali… kami hanya menyokong pihak yang sanggup mempertahankan hak rakyat di bawah amalan prinsip demokrasi,” katanya.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen Muhammad Hilman Idham yang turut hadir sidang media itu berkata kerajaan-kerajaan negeri perlu menyediakan ruang khas terbuka untuk orang ramai berhimpun dan meluahkan pendirian masing-masing.

“Kami menggesa setiap kerajaan negeri mengadakan ruang seperti ini, bukannya yang tertutup tetapi terbuka di mana orang ramai boleh datang, bercakap dan mendengar isu-isu semasa yang dibangkitkan,” katanya.

The Malaysian Insider

Baca seterusnya...

Demo: Pemuda PAS, PKR Perlu Mohon Maaf - Shazni

Kuala Lumpur 4 Dis - Pemimpin Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang dituntut memohon maaf dan menarik balik aduan polis yang dibuat terhadap penganjuran demonstrasi di dua negeri tersebut awal minggu ini.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata laporan polis itu – berhubung perhimpunan di Kota Bharu pada Selasa lalu dan Georgetown sehari sebelumnya – jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diuar-uarkan Pakatan Rakyat.

“Mereka juga kena mohon maaf kepada rakyat Malaysia secara terbuka kerana tidak jujur dalam memperjuangkan hak rakyat untuk berhimpun,” kata Presiden NGO itu Shazni Munir Mohd Ithnin kepada Malaysiakini hari ini.

“Kita juga desak supaya mereka memastikan semula sikap mereka terhadap demonstrasi. Jika benar mereka berpendapat demonstrasi yang aman boleh mengganggu kestabilan politik, maka mereka perlu isytiharkan sikap tersebut.”

Kelmarin, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan mempertahankan tindakan pemimpinnya membuat aduan polis agar mengambil tindakan menghalang satu demonstrasi anjuran kumpulan Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) di depan kompleks Kota Darulnaim.

Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berpendirian, Pakatan Rakyat tidak pernah mempunyai polisi untuk menggesa polis menahan peserta demostrasi.

Mengulas pendirian dua pemimpin Pemuda tersebut, Shazni Munir berkata Pemuda PAS Kelantan dan AMK Pulau Pinang perlu mengambil sisi politik “yang matang dan tidak oportunis.”

Tambahnya, tindakan Pemuda PAS itu dilihat ‘oportunis’ selepas parti itu mengukuhkan kedudukannya di Kelantan, seperti juga Angkatan Muda PKR di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum lalu.

“(Aduan polis) ini berlawanan dengan sikap mereka sebelum dapat mengukuhkan kedudukan di Kelantan dan sebelum dapat memerintah Pulau Pinang.

“Kita nampak pemimpin ini tidak jujur dan bersifat memilih dalam menggunakan hak berhimpun,” kata Shazni Munir, yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, ketika dihubungi.

Katanya lagi, kedua-dua pergerakan Pemuda tersebut perlu memohon maaf kepada rakyat yang memilih mereka sebelum ini yang menyokong demonstrasi untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas prinsip kebebasan berhimpun.

“Tapi kenapa selepas pegang kuasa, bila rakyat guna pendekatan sama untuk suarakan bantahan, kenapa mereka guna pendekatan sama seperti Umno dan BN untuk halang hak berhimpun?” katanya.

Malaysiakini

Baca seterusnya...

Sambut Baik Rombak Modul BTN – Hilman

Bangi 3 Disember 07:32a.m - “Saya menyambut baik keputusan kebinet untuk merombak modul (BTN) yang digunakan, atas prinsip reformasi kepada modul yang lebih cocok dengan keadaan semasa.,” demikian kenyataan Hilman Idham, wakil koalasi pimpinan Sodaliriti Mahasiswa Malaysia (SMM) semalam.

Beliau bagaimanapun mengharapkan rombakan terhadap kursus Biro Tatanegara (BTN) berkenaan lebih mementingkan sudut silibus pembinaan jatidiri dan semangat patriotisme.

Koordinator Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) tersebut juga meminta pihak kerajaan telus dan terbuka dalam penyemakkan semula modul kem peningkatan diri berkenaan yang diadakwa sebagai “medan doktrinisasi perkauman dan politik”.

“Sebelum (perubahan) diadakan, kena tahu apakah modul atau silibus yang digunakan sebelum ini? – itu sebagai titik penilaian masyarakat kepada BTN. Benarkah ia menerapkan unsur perkauman dan benci pada pemimpin? Itu akan masyarakat nilai sendiri dan pimpinan kerajaan harus terbuka dan bersedia jika terbukti dakwaan itu benar,” tambah beliau.

Sambil tidak menolak kursus “medan doktrinisasi” berkenaan berkemungkinan “disalahgunakan”, Hilman juga memohon diadakan perbincangan melibatkan mahasiswa dalam membangunkan modul dan silibus baru kem berkenaan.

Isu berkenaan rombakan modul dan silibus kursus tersebut bermula apabila kerajaan Selangor melarang pegawai negeri tersebut menyertai BTN.

Kini larangan menyertai kursus itu diikuti oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Wujud dakwaan bahawa wujud unsur “doktrinisasi perkauman dan politik kepartian” yang diterapkan dalam kursus berkenaan.

Mahasiswakini

Baca seterusnya...

Reaksi: Perjuangan Tanpa Wawasan Tanda Tumpul Idealisme

Oleh Mohd Shah Abdullah*

SEKONYONG-konyong sekumpulan mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menggelarkan identiti mereka sebagai Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) berarak, berkumpul dan berdemontrasi menuntut apa yang didakwa hak mereka. Sebilangan kecil mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berdemonstrasi menuntut pengurusan universiti menurunkan kadar yuran berasaskan andaian universiti menaikkan kadar harga yuran 50 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Riuh-rendah universiti akibat keletah anak-anak muda ini. Mereka berkumpul dan berarak dalam kumpulan kecil dalam tempoh seminggu sehingga kemuncaknya pada 6 November lalu, mereka menyuarakan bantahan rasmi – Memorandum Desak: Mendesak Pihak Pentadbiran Menurunkan Yuran Pengajian. Gelagat mereka mendapat liputan media cetak dan elektronik. Media alternatif, termasuk blog melaporkan dengan lebih meluas, termasuk umpat keji, maki dan kata nista.

Berbanding suasana era gelombang kebangkitan mahasiswa pada 1960-an dan 1970-an, perjuangan ketika itu membawa tema penting, lebih jitu membumi, menyentuh akar umbi dan hati nurani rakyat. Perjuangan mereka misalnya untuk memartabatkan bahasa Melayu, kemiskinan rakyat dan kejatuhan harga getah yang lebih dekat kepada suara nurani rakyat serta wibawa bangsa. Akibatnya, suara dan perjuangan mahasiswa dipasung dengan wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Pemimpin mahasiswa ditangkap, dipenjara dan ada yang membawa diri lari ke luar negara. Pokoknya, wacana mahasiswa ketika itu mendukung satu tema dan gagasan besar memartabatkan perjuangan bangsa.

Demonstrasi terbaru oleh segelintir mahasiswa ini menampilkan citra dan wajah yang berlainan. Di sekitar persoalan dan isu yang diketengahkan, nyata perjuangan mereka menampilkan satu watak bahawa lumpuhnya wawasan dan idealisme golongan itu. Membawa isu terpinggir, remeh-temeh serta dangkal nyata membelenggu dimensi perjuangan kumpulan serpihan ini. Mengapa dikatakan demikian?

Pertama, sebuah IPTS berbeza sama sekali dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Walaupun falsafah dan fungsi IPTS adalah mendukung dasar pendidikan tinggi negara, matlamat IPTS pada akhirnya ialah kemandirian dari sudut kewangan. Berbanding IPTA yang mendapat sokongan dana dan pembiayaan kerajaan, geran penyelidikan dan inovasi serta sokongan berterusan kerajaan dalam pelbagai bentuk yang lain, IPTS secara umumnya beroperasi bersendirian, mencari duit dan mencipta laba menerusi cara yang diharuskan. Kutipan yuran pelajar adalah satu kaedah bahkan menjadi cara yang paling utama.

Menerusi kutipan yuran itulah, sesebuah IPTS menyokong kesinambungan hayatnya. Ia termasuk belanja operasi, pembayaran gaji dan emolumen, menyediakan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), kemudahan prasarana, penyelenggaraan kemudahan, bayaran bil dan utiliti, perkhidmatan perpustakaan, makmal bahasa dan multimedia serta kemudahan lain yang perlu disediakan menurut piawaian sebuah institusi pengajian tinggi. Akibat perbelanjaan dan kos yang tinggi terus menerus meningkat saban tahun, maka tidaklah mengejutkan ada laporan sebelum ini menyebut sesetengah IPTS terpaksa gulung tikar.

Jangan juga dilupakan, IPTS perlu melakukan kerja promosi dan pemasaran secara bersendirian untuk mencari pelajar. IPTS tidak mempunyai pusat sehenti (one stop centre) seperti Unit Pusat Universiti (UPU) yang memproses kemasukan pelajar terus ke IPTA. Perbelanjaan dan kos bagi pengiklanan serta pemasaran adalah tinggi, kerja yang dilakukan sulit dan sukar di samping memerlukan inisiatif yang tinggi, perancangan strategik, tersusun dan komprehensif. Apatah lagi jika aktiviti pemasaran membabitkan pemasaran antarabangsa, kosnya tentulah lebih mahal dan tinggi. Semua perbelanjaan yang dilabur bagi tujuan pemasaran dan promosi belum tentu berbaloi andainya pelajar tidak datang belajar ke sesebuah IPTS.

Persaingan IPTS nyata semakin sengit. Kini ada 37 kolej universiti dan universiti swasta dan lebih 500 kolej swasta bersaing untuk merebut segmen pasaran sama. Lazimnya, pelajar yang berkelulusan cemerlang cenderung memilih atau dipilih memasuki IPTA. Baki yang lain itulah, sesetengahnya hanya berkelulusan minimum yang hendak direbut untuk memasuki IPTS.

Tanggungjawab IPTS menggalas misi besar, menampung sejumlah pelajar yang tidak mampu ditampung IPTA. Ini misi nasional. Dalam kerangka yang lebih besar, IPTS perlu bersama-sama menjayakan agenda nasional memartabatkan agenda pendidikan tinggi, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjana modal insan berkualiti tinggi.

Kedua, kerana sifatnya yang perlu bersaing dan berdikari, pengurusan IPTS bertanggungjawab melapor kepada lembaga pengarah, pemegang kepentingan dan sesetengahnya langsung kepada pemegang saham. Laporan tahunan kewangan yang mencatatkan defisit tentulah meletakkan pengurusan IPTS tertekan, meresahkan, menjejaskan operasi organisasi dan kemungkinan membawa kepada tragedi gulung tikar. Perbezaan ini amat ketara dengan operasi IPTA yang dijaga rapi oleh pemegang kepentingannya, iaitu kerajaan sendiri. IPTS lebih terbuka untuk menjadi muflis jika penyata dan kedudukan kewangannya goyah.

Kenyataan dan garis penting inilah yang gagal untuk difahami kebanyakan pelajar, malah ibu bapa yang menghantar anak mereka menuntut di IPTS. Mujur agensi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menyediakan dana pinjaman kepada pelajar IPTS. Pinjaman itulah yang membantu pelajar membiayai pengajian mereka selama tiga atau empat tahun di universiti. Namun, pinjaman pengajian itu tidaklah seperti biasiswa. Dengan keterbatasan PTPTN yang terpaksa memikul tanggungjawab sosial begitu besar, ia tentulah tidak berupaya menyediakan jumlah pinjaman yang besar kepada setiap pelajar. PTPTN turut bertanggungjawab menaja pelajar IPTA.

Maka, sebarang tuntutan untuk menaikkan kadar pinjaman adalah tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara dan kuasa PTPTN, bukan pengusaha IPTS. Sekali lagi, bayangkan senario buruk jika PTPTN menutup terus saluran penyediaan dana pinjaman kepada pelajar IPTS. Sesebuah IPTS memang bergantung kepada komitmen sebuah agensi besar seperti PTPTN kerana hampir 70 hingga 80 peratus pelajarnya bergantung kepada dana pinjaman berkenaan.

Dana pinjaman yang diterima pelajar diguna membayar yuran pengajian bukanlah mutlak sepenuhnya masuk ke kantung kewangan universiti. Sebahagian dana itu dipulangkan bagi kepentingan pelajar, termasuk penyediaan kemudahan P&P, kemudahan dan prasarana. IPTS bukanlah organisasi tamak untuk mencipta keuntungan berlipat ganda. Sejak beberapa tahun beroperasi IPTS terpaksa ditampung menerusi dana asnaf fisabilillah disalurkan syarikat induk Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam bentuk pembiayaan geran tahunan untuk membiayai gaji dan emolumen kakitangan. Hakikat ini tidaklah difahami oleh kumpulan serpihan pelajar yang berdemonstrasi menuntut penurunan harga yuran pengajian.

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Pepatah ini sesuai untuk menggambarkan IPTS yang berada dalam kedudukan serba salah. Melayan dan menerima sepenuhnya tuntutan pelajar agar menurunkan yuran pengajian pada analisis akhirnya pasti menjejaskan operasi pengurusan. Menolak tuntutan itu pastilah meletakkan pengurusan ditohmah kononnya mengetepikan prinsip keadilan, tamak, boros dan sebarang kutukan lain bukan saja oleh pelajar berkepentingan sempit seperti GMS, tetapi mungkin sesetengah ibu bapa yang tidak memahami situasi sebenar perjalanan operasi sesebuah IPTS.

Jika dibiarkan perangai dan gelagat kelakuan anak muda ini, ia ibarat kaduk naik junjung, ular lidi menjadi naga. Kebebasan bukanlah mutlak kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka yang menebar angin pastilah menuai badai. Tindakan pelajar berhimpun secara tidak bertanggungjawab perlu menerima hukuman setimpal mengikut hukum dan ketetapan peraturan undang-undang. Mereka menjejaskan sebuah kehidupan kampus yang harmoni. KUIS bermula sejak 1995 sebagai sebuah kolej, sebuah entiti yang kecil, serba sederhana, dan menumpang premis di sebuah sekolah di Shah Alam. Hanya pada 2002, KUIS berpindah ke kampus tetap di Bandar Seri Putra, bangunan yang dibina hasil inisiatif kerajaan Selangor ketika itu.

Pada 2004, KUIS dinaik taraf sebagai sebuah Kolej Universiti menerusi sedikit keberanian dan iltizam untuk turut sama memacu agenda pendidikan tinggi negara. Kini ia dalam proses permohonan untuk dinaik taraf sebagai sebuah universiti penuh.

Segelintir ahli GMS ini menampilkan wacana tohor, serba dangkal dan minda terkepung apabila menggerakkan segelintir mahasiswa untuk berdemonstrasi. Ibarat meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Kejahilan adalah kezaliman. Agenda perjuangan kumpulan serpihan GMS hambar, kosong, tidak bermaya, tidak langsung berguna dan bermakna.

—————-

*Penulis adalah Timbalan Rektor Pembangunan Korporat dan Pengantarabangsaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Tulisan ini pertama kali disiarkan di akhbar dalam talian Berita Harian.

Baca seterusnya...

Jangan Bunuh Intelektual

Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) intelektual. Namun, sebagai manusia biasa, beliau tidak bebas daripada kelemahan. Begitu juga intelektual lain. Justeru, mereka boleh dikritik. Tetapi, cara beliau diserang baru-baru ini adalah tidak adil. Begitu juga dengan cara intelektual lain yang pernah diserang.

Islam meletakkan intelektual/ulama di tempat tertinggi, iaitu sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Kita memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban.

Membina intelektual yang hebat, kelas pertama dan bertaraf dunia bukanlah mudah. Kita melakukan segala-galanya untuk melahirkan dan memperkukuhkannya. Antaranya, ialah menyediakan pensyarah universiti berkelulusan PhD atau setaraf.

Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.

Menurut Syed Hussein Alatas (1977), dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, definisi intelektual ialah "orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya".

Menurutnya lagi, "Pengetahuan tentang suatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki sesuatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini sering kali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya. Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya."

Intelektual diharapkan memikul amanah tamadun dan peradaban dengan sebaik-baiknya. Mereka perlu mengelakkan diri daripada menjadi fenomena di US, iaitu yang disebut oleh Frank Furedi (2004) dalam bukunya Where Have All the Intellectuals Gone?, di mana pemikir seperti Betrand Russel, Raymond Williams atau Hannah Arendt, iaitu tokoh yang mempunyai ilmu yang tulen, visi yang luas dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat telah diganti oleh peramal yang dangkal, pengkaji yang apologis dan pakar pemutar isu.

Intelektual subur dalam masyarakat yang menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1991) dalam bukunya, Penjelasan Budaya Ilmu, ialah masyarakat yang meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi, sentiasa menuntut, mengembang dan mengongsi ilmu serta setiap keputusan adalah berasaskan ilmu.

Malangnya, dalam sejarah, berlaku beberapa tragedi intelektual dibunuh. Di barat, ada intelektual dibunuh kerana bertentangan pendapat dengan pihak berkuasa agama. Di timur, ada Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan satu generasi intelektual. Di sini, intelektual Kaum Muda dihentam Kaum Tua.

Antara ciri-ciri lazim intelektual dan penentangnya ialah:
  • Intelektual berusia muda, walaupun ada yang berumur. Penentangnya lebih tua, atau kalaupun muda, tetapi tua pemikirannya.
  • Intelektual rajin menulis buku dan rencana, membentang kertas kerja di seminar ilmiah, menjadi kolumnis, sering diundang media elektronik serta ada laman web, blog dan sebagainya. Penentangnya kurang rajin.
  • Intelektual aktif mengeluarkan pendapat tanpa ragu atau ampu. Penentangnya kurang aktif.
  • Intelektual kritis, progresif dan adakalanya berbeza dengan pemikiran arus perdana. Penentangnya jumud, sering bersama arus perdana, manakala arus perdana adakalanya tidak mempunyai apa-apa pemikiran pun.
  • Intelektual artikulasi. Penentangnya tidak mampu berhujah.
  • Intelektual menggunakan pendekatan bijaksana, dinamik dan sesuai dengan keperluan kontemporari. Penentangnya terikat dengan pendekatan lama yang ditolak kumpulan sasar.
Antara cara penentangan yang lazim terhadap intelektual ialah:
  • Tuduh pendapat intelektual bukan idea baru tetapi idea lama yang dikitar semula. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaran yang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru.
  • Tuduh intelektual bincang perkara ranting dan bukan fundamental atau prioriti. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami ketika banyak perkara fundamental dan prioriti dibincangkan intelektual, lalu diambillah perkara ranting itu untuk ditonjolkan.
  • Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu.
  • Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain.
  • Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih.
  • Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna.
  • Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan "mencerca", tetapi "mengkritik", yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama.
Tetapi, apa yang lebih penting ialah mengapakah dibezakan antara "intelektual" dan "ulama"? Masihkah ingin diteruskan unsur sekularisme dalam menguruskan Islam dengan mewujudkan golongan penguasa dan pendominasi agama serta terus menerus memisahkan intelektual dengan ulama?

Lupakah kita pada usaha-usaha, contohnya, "pengislaman ilmu" oleh Ismail Faruqi dan "mengintelektualkan ulama dan mengulamakkan intelektual" oleh Mohd Natsir?
  • Tuduh intelektual muda kurang pengalaman atau tidak menghormati orang tua. Sebenarnya penentangnya lupa bahawa dunia telah berubah. Pengalamannya mungkin tidak lagi relevan, hormat perlu diusahakan bukan dipaksakan dan kini wujud konsep baru seperti penghakupayaan dan partisipasi orang muda.
  • Larang intelektual bercakap tajuk tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.
  • Utamakan seniority dalam peruntukan penyelidikan atau lantikan jawatan hingga intelektual ketinggalan. Ini bertentangan dengan nilai kecemerlangan.
  • Cari, malahan cipta, kelemahan intelektual. Ini dendam peribadi.
  • Apabila berlaku pertelingkahan antara intelektual dan penentangnya, maka penentangnya mencadangkan agar berdamai. Tetapi, perdamaian perlu dilaksanakan dengan adil.
Apabila intelektual yang diserang mempertahankan haknya, penentangnya tidak mampu berhujah, lalu menyelamatkan diri dengan mencadangkan berdamai. Kalau perkara ini berulang, maka intelektual akan sentiasa menjadi mangsa penentangnya dalam fenomena pembulian intelektual.

Kesimpulannya, kita perlu memperkukuh, bukannya membunuh intelektual.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Utusan Malaysia, 25 Nov 2009

Baca seterusnya...

PTPTN Sedia E-Forum Bantu Selesai Masalah

Saluran e-forum Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan memberi ruang kepada peminjam untuk mengajukan sebarang masalah atau pertanyaan dengan tepat, cepat dan mudah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kewujudan saluran itu dapat membantu orang ramai menyelesaikan segala kemusykilan mereka dengan bantuan kakitangan daripada jabatan itu yang akan mengemas kini saluran berkenaan pada kadar segera.

"Kalau sebelum ini jika ada sebarang pertanyaan mengenai PTPTN, orang ramai terpaksa menyuarakan melalui akhbar dan kadang-kala ada di antara pertanyaan itu tidak berjawab, mungkin kerana ada kakitangan yang terlepas pandang atau soalan itu sudah sering ditanya.

"Dengan adanya saluran ini, masalah seumpama itu tidak akan berlaku lagi kerana akan ada ruangan untuk soalan yang sering dipersoalkan untuk mengelakkan soalan berulang dan kakitangan kami juga akan menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan seberapa pantas yang boleh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Beliau sebelum itu turut melancarkan saluran e-forum PTPTN yang diwujudkan melalui laman web kementerian.

"Saya sebagai menteri juga akan sentiasa memantau saluran ini untuk memastikan ia menepati matlamat dan sasaran yang ditetapkan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata PTPTN telah menyediakan moderator yang terlatih, berpengetahuan dan berpengalaman untuk membantu menyelesaikan semua persoalan yang dibangkitkan secara spontan.

Interaksi secara langsung ini, katanya, diharapkan mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa kerajaan mampu untuk memberikan perkhidmatan yang responsif, cepat, telus dan secara langsung.

"Forum melalui laman web ini diharap dapat memberi peluang kepada umum untuk berbahas atau menjadi pentas mengemukakan pendapat mengenai isu-isu permohonan pinjaman, pembayaran balik pinjaman, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan isu berkaitan pembayaran balik PTPTN secara interaktif," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif PTPTN Yunos Abd Ghani berkata pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk menangani kes peminjam yang telah disenaraihitamkan kerana tidak membayar pinjaman.

"Biasanya kita perlukan masa selama seminggu untuk lepaskan mereka daripada disenaraihitamkan, tapi kalau mereka memerlukan masa yang lebih singkat kerana ada urusan penting di luar negara dan sebagainya, mereka boleh hubungi kami untuk memberikan cadangan atau berbincang mengenai bentuk bayaran yang mereka ingin lakukan.

"Apa yang penting, pinjaman itu perlu dibayar semula sama ada secara ansuran, potongan gaji dan sebagainya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Putrajaya.

BERNAMA

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top